Ya Allah, kami pohon perlindungan dari-Mu dari segala hasutan syaitan mahu
pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup
dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan,
jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.
Ya Tuhan kami, Engkaulah yang maha mengetahui apa yang tersirat dalam hati
dan sanubari kami, Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, kami mengakui dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang
kebesaran dan kekuasaan-Mu ya Allah. Lantaran itu kami menadah tangan di
samping memohon keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan, kami juga
ingin melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat keselamatan dan
kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan.
Ya Allah, Engkaulah yang lebih mengetahui tentang hati dan perasaan kami,
kami yakin bahawa hanya kudrat dan iradat-Mu sahaja yang dapat
menyelamatkan kami dari segala rupa bentuk keburukan mahu pun bala
bencana, hanya kekuasaan-Mu jua yang telah menyelamatkan kami dari segala
maksiat mahu pun wabak yang sedang melanda kami. Ya Allah, kemurahan-Mu kami pohonkan, ihsan-Mu kami harapkan, Rahman
dan Rahim-Mu kami pinta, semoga kami sentiasa dilindungi dan dinaungi
dengan sepenuh riayah dan pemeliharaan-Mu, kami akui bahawa kami sentiasa
terdedah kepada bahaya dan keburukan, lebih-lebih lagi manusia yang
mempunyai hasad dengki di atas sedikit kelebihan yang dikurniakan kepada
kami, justeru itu, kami pohonkan ya Allah, Engkau peliharakanlah serta
hindarkanlah kami daripada segala bahaya dan keburukan itu.
Sekiranya keburukan telah Engkau qadha ke atas kami, sekiranya kecelakaan
telah Engkau tetapkan akan menimpa kami, maka dengan Rahman dan Rahim-
Mu ya Allah kami pohonkan, hindarkanlah kami dari segala keburukan dan
kecelakaan itu, agar dapat kami hidup lebih bererti dan lebih bermakna.